Diam bukan diam sahaja
April 30, 2010 | Filed Under diari hidup
Minggu kebelakangan ini, saya banyak diuji dengan perbahasan2 yang tak logik tak kira di dada akhbar atau di blog dsbnya. Jalan terbaik adalah mendiamkan diri dan lihat tindakan orang itu seterusnya. Saya dah cukup penat berbahas benda yang tak patut. Quoting what Dilbert said “Don’t argue with an idiot, he’ll bring you down to his level and beat you by experience.”
Terlalu banyak ketikanya kita berusaha menyalahkan orang, persekitaran, hatta kadang-kadang pakaian kita contohnya (kalau kita kata kita tak hensem sebab pakaian tu ~_~ ), tapi tanpa sedar kesilapan berpunca dari diri sendiri. Kita sering memandang perkara-perkara negatif yang berlaku tanpa kita melihat dan bersyukur dengan perkara positif yang telah dan akan berlaku.
Kejadian ketika ini mengheret ingatan saya kepada sebuah buku klasik bertajuk Arguing With Idiots oleh Glenn Beck. Saya pernah baca buku ini di perpustakaan selepas baca recommendation dari Ust Hasrizal. Ia memberikan pelbagai sketsa yang memeningkan tentang betapa rumitnya untuk kita keluar daripada belenggu perdebatan yang sudah hilang hujung pangkalnya.
Lalu apa yang saya nampak, diam itu jugalah penyelesaian paling sejahtera untuk menjernihkan keadaan.
Teringat saya kepada sebuah peristiwa di zaman Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
Sa’eed bin Musayyeb berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk-duduk bersama dengan para Sahabat. Muncul seorang lelaki lalu dia mencela dan memaki hamun Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu hingga menyebabkan Abu Bakr ’sakit’ mendengarnya. Tetapi Abu Bakr terus mendiamkan diri. Lelaki itu meneruskan lagi celaan dengan bahasa yang lebih kasar terhadap Abu Bakr, namun beliau masih terus mendiamkan diri. Masuk kali ketiga, apabila lelaki itu terus menyakiti Abu Bakr dengan lisannya, Abu Bakr bingkas mahu menjawab balik.
Lalu Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bangun. Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu bertanya: apakah engkau marah denganku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Tidak. Cuma semasa kamu mendiamkan diri, Malaikat turun dari Langit bertindak terhadap kata-kata lelaki itu. Tetapi sebaik sahaja kamu mula membalas cacian lelaki itu, Malaikat melarikan diri lalu Syaitan datang dan duduk. Aku tidak boleh duduk di tempat yang Syaitan duduk di situ.” [ Hadith riwayat Abu Dawud]